Skip to main content

SINDROM OVERTHINKING 2 PAGI : BILA OTAK ENGGAN BEREHAT

Lanjutan dari post semalam, perkara ni juga sering berlaku pada aku. Cuba berusaha untuk lelap tapi susah sangat. Mata dah pejam tapi macam ada projektor pancarkan adegan-adegan yang terlintas kat kepala kat kelopak.mata. Kadang terfikirkan benda yang tak perlu, malah benda yang belum terjadi lagi. Aku harap korang dapat info serba sedikit dan dapat membantu membendung masalah ni. Baca artikel di bawah yang aku ambil dari Public Health Malaysia. 

SINDROM OVERTHINKING 2 PAGI: KENAPA OTAK SUKA 'UNGKIT' SILAP LAMA BILA LAMPU TUTUP?

Badan dah penat letih seharian bekerja. Mata dah berat. Tapi bila letak sahaja kepala atas bantal dan tutup lampu.. tiba-tiba otak buka 'fail' tahun 2019 masa anda tersalah cakap dengan kawan pejabat.

Terus terbeliak biji mata! Tiba-tiba rasa berdebar, rasa menyesal, dan rasa diri ini sangat bodoh. Pusing ke kiri tak kena, pusing ke kanan pun tak lena. Sedar-sedar jam dah pukul 3 pagi.

Kenapa siang hari kita okey, tapi bila malam otak jadi kejam pada diri sendiri? Ini penjelasan sains:

1. Hilang Gangguan (Sensory Deprivation)
Siang hari, otak kita sibuk memproses beribu maklumat: kerja, bunyi kenderaan, media sosial, dan orang sekeliling. Apabila malam menjelma dan keadaan menjadi sunyi sepi, bahagian otak yang dipanggil 'Default Mode Network' (DMN) akan aktif. Otak anda kehilangan 'pekerjaan', jadi ia mula mencipta skrip drama, mengimbau memori lama, dan menganalisis masa depan untuk kekal sibuk.

2. Bos Otak Sedang Kepenatan (Prefrontal Cortex Fatigue)
Bahagian depan otak (Prefrontal Cortex) berfungsi untuk mengawal logik, rasional, dan menyelesaikan masalah. Masalahnya, menjelang waktu malam, bahagian ini sudah 'kehabisan bateri'. Apabila logik sudah penat, bahagian emosi otak (Amygdala) akan mengambil alih sepenuhnya. Sebab itulah masalah yang nampak kecil pada waktu siang, akan terasa seperti kiamat pada pukul 2 pagi!

3. Sistem 'Post-Mortem' Kehidupan
Otak manusia direka secara biologi untuk fokus kepada ancaman dan kesilapan lalu supaya kita tidak mengulanginya demi kelangsungan hidup (Survival Mode). Waktu malam adalah waktu otak membuat 'post-mortem'. Malangnya, ia sering berlebihan (overdrive) sehingga mencetuskan hormon stres (Kortisol).

Bagaimana nak hentikan seksaan mental jam 2 pagi ini?

- Teknik 'Brain Dump': Jangan biarkan masalah bersepah dalam otak. Bangun, ambil pen dan kertas, tuliskan semua benda yang merunsingkan anda. Pindahkan beban itu dari otak ke atas kertas.
- Jangan Tengok Jam: Makin anda kira berapa jam sahaja lagi tinggal nak kena bangun pergi kerja, makin tinggi dada berdebar. Alihkan jam dari pandangan anda.
- Keluar Dari Katil: Jika selepas 20 minit anda masih terkebil-kebil, bangun. Pergi ke ruang tamu, minum air kosong, atau baca buku fizikal (JANGAN buka phone!) sehingga mata kembali layu. Katil adalah tempat untuk tidur, bukan gelanggang gusti emosi.

Esok masih ada. Berhenti menghukum diri sendiri atas kesilapan semalam. Tidurlah, dunia tidak akan hancur jika anda berehat malam ini.


SUMBER : PUBLIC HEALTH MALAYSIA







Sodep | 16 Oktober 1980 | Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia | For any enquiry email to : budakbunian@gmail.com

Comments